Jumat, Juli 29, 2011


Di bawah pengaruh agama Hindu dan Buddha, beberapa kerajaan terbentuk di pulau Sumatera dan Jawa pernah mencapai kejayaannya dengan wilayah meliputi negara Malaysia dan pulau Mindanao semasa Majapahit sejak abad ke-7 hingga abad ke-14. Kedatangan pedagang-pedagang Arab dari Gujarat, India kemudian membawa agama Islam yang akhirnya menjadi agama terbesar.

Ketika orang-orang Eropah datang pada awal abad ke-16, mereka telah menemui beberapa negara kecil. Negara-negara kecil ini dengan mudah dikuasai oleh mereka yang ingin menguasai perdagangan rempah. Pada abad ke-17, Belanda muncul sebagai kuasa yang terkuat di antara negara-negara Eropah, mengalahkan British dan Portugis (kecuali untuk tanah jajahan mereka di Timor Timur). Belanda menguasai Indonesia sebagai tanah jajahan hingga Perang Dunia II, awalnya melalui Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC), dan kemudiannya dijajah secara langsung oleh pihak Belanda sejak awal abad ke-19.

Semasa Perang Dunia II, Belanda dijajah oleh Jerman, manakala Jepun menguasai Indonesia. Setelah menawan Indonesia pada tahun 1942, pihak Jepun mendapati bahawa para pejuang Indonesia merupakan rakan perdagangan yang sudi bekerjasama dan bersedia mengerahkan pahlawan bila diperlukan. Sukarno, Mohammad Hatta, KH Mas Mansur, dan Ki Hajar Dewantara kemudiannya diberikan penghargaan oleh Maharaja Jepun pada tahun 1943.

Pada Mac 1945, pihak Jepun membentuk sebuah jawatan kuasa untuk kemerdekaan Indonesia; di bawah tekanan pertubuhan-pertubuhan pemuda, kelompok pimpinan Sukarno mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia selepas perang Pasifik berakhir pada tahun 1945 Sukarno menjadi presiden pertama Indonesia dengan Mohammad Hatta sebagai naib presiden. Dalam usaha untuk menguasai kembali Indonesia, Belanda menurunkan angkatan tentera mereka. Usaha-usaha berdarah untuk membendung pergerakan kemerdekaan ini kemudian dikenali sebagai ‘tindakan polis‘ (Actie Politioneel). Di bawah tekanan perlawanan rakyat dan tentera Indonesia, Belanda akhirnya menarik tenteranya pada 27 Disember 1949.

Pada tahun 1950-an dan 1960-an, Presiden Sukarno mengikuti gerakan berkecuali pada awalnya dan kemudian dengan blok sosialis, misalnya Republik Rakyat China dan Yugoslavia. Pada masa itu kekuatan ketenteraan Indonesia menjadi terbesar di Asia setelah Republik Rakyat China. Tahun 1960-an menyaksikan konfrontasi tentera terhadap Malaysia, negara jirannya yang dianggap sebagai negara bentukan Britain.

Jeneral Suharto menjadi presiden pada tahun 1967 dengan alasan untuk mengamankan negara daripada ancaman komunisme terhadap Sukarno yang kini semakin lemah. Setelah Suharto berkuasa, beratus-ratus ribu warganegara Indonesia yang disyaki memihak kepada komunis telah dibunuh. Tempoh pemerintahan Suharto selama 32 tahun dinamakan Order Baru, dibandingkan dengan masa pemerintahan Sukarno yang disebut Order Lama.

Suharto berjaya mendapatkan pelaburan luar negeri yang besar untuk Indonesia, dan menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, meskipun tidak merata, di Indonesia. Pada awal regim Order Baru, strategi ekonomi negara telah dibuat oleh sekelompok ahli ekonomi lulusan Fakulti Ekonomi Universiti California di Berkeley yang digelarkan “Kelompok Berkeley”. Namun, Suharto menambah kekayaan diri serta keluarganya melalui amalan rasuah yang meluas dan beliau akhirnya dipaksa melepaskan jawatannya setelah tercetusnya tunjuk perasaan secara besar-besaran dan keadaan ekonomi negara yang semakin memburuk pada tahun 1998.

Dari 1998 hingga 2001, Indonesia mempunyai tiga presiden: Baharuddin Jusuf Habibie, Abdurrahman Wahid dan Megawati Sukarnoputri. Pada tahun 2004 , Susilo Bambang Yudhoyono menjadi presiden Indonesia yang terkini.


Geografi Indonesia

Indonesia ialah sebuah negara yang mengandungi banyak pulau gunung berapi. Pulau Sangeang Api merupakan satu contoh.

Indonesia ialah sebuah negara yang mengandungi banyak pulau gunung berapi. Pulau Sangeang Api merupakan satu contoh.

Negara Indonesia terletak di antara:

6º U – 11º S dan 95º T – 141º T;
Lautan Pasifik dengan Lautan Hindi; dan
benua Asia dengan benua Australia; serta

pada pertemuan dua banjaran, iaitu Banjaran Pasifik dan Banjaran Mediterranean.

Indonesia mempunyai 18,018 buah pulau yang tersebar di sekitar khatulistiwa dan oleh itu, beriklim tropika. Hanya sekitar 7,000 buah pulau berpenghuni. Lima pulau yang terbesar ialah Pulau Jawa, Sumatra, Kalimantan, Sulawesi, dan Papua, dengan Pulau Jawa mempunyai setengah daripada jumlah penduduk Indonesia dan merupakan pulau yang terpadat.

Indonesia juga terletak di plat tektonik. Ini bermakna bahawa Indonesia sering mengalami gempa bumi dan tsunami. Kedudukan ini juga menyebabkan Indonesia memiliki sekurang-kurang 66 buah gunung berapi, termasuk Gunung Krakatau, sebuah gunung berapi yang paling terkenal di antara Sumatera dan Jawa, tetapi kini sudah hapus.

Flora dan fauna amat berbeza antara Kalimantan, Bali, serta pulau-pulau barat di satu bahagian, dan Sulawesi, Lombok, serta pulau-pulau yang lebih timur di bahagian yang lain. Sempadan ekologi ini digelarkan Garis Wallace, sempena nama penemunya. Garis ini sering digunakan sebagai sempadan antara Asia dan Australasia dan oleh itu, menyebabkan Indonesia merupakan sebuah negara dwibenua.
Provinsi dan bandar besar
Provinsi

Senarai Provinsi Indonesia

Indonesia ialah negara yang terluas di Asia Tenggara. Untuk memudahkan pentadbiran, negara ini dibahagikan kepada 33 provinsi (termasuk dua Daerah Istimewa (DI), iaitu Nanggroe Aceh Darussalam dan Daerah Istimewa Yogyakarta, serta satu Daerah Khusus Ibu kota (DKI), iaitu Daerah Khusus Ibukota Jakarta Raya. Sebelum era Reformasi, Indonesia hanya memiliki 27 provinsi, dengan Timor Timur merupakan provinsi ke-27 pada Julai 1976. Bagaimanapun, Timor Timur telah pun memisahkan diri melalui pemungutan suara menjadi negara Timor Leste pada 20 Mei 2002.

Indonesia saat ini sedang menjalankan autonomi untuk setiap provinsinya dengan tujuan memberikan peluang pembangunan yang sama rata di seluruh negara. Selain autonomi, pemerintah Indonesia kini sedang menjalankan prinsip pengagihan kuasa pusat untuk provinsi-provinsinya.

Yang berikut adalah senarai provinsi di Indonesia :

Sumatera

Nanggroe Aceh Darussalam
Sumatera Utara
Sumatera Barat
Riau
Kepulauan Riau
Jambi
Sumatera Selatan
Kepulauan Bangka Belitung
Bengkulu
Lampung

Jawa

Jakarta
Banten
Jawa Barat
Jawa Tengah
Daerah Istimewa Yogyakarta
Jawa Timur

Kepulauan Sunda Kecil

Bali
Nusa Tenggara Barat
Nusa Tenggara Timur



Kalimantan

Kalimantan Barat
Kalimantan Tengah
Kalimantan Selatan
Kalimantan Timur

Sulawesi

Sulawesi Utara
Gorontalo
Sulawesi Tengah
Sulawesi Barat
Sulawesi Selatan
Sulawesi Tenggara

Kepulauan Maluku

Maluku
Maluku Utara

Papua

Papua Barat
Papua

Bandar terbesar

Sepuluh bandar terbesar di Indonesia mengikut susunan, adalah seperti berikut :

Jakarta: ibu negara Indonesia, pusat pemerintahan, serta pusat perdagangan
Surabaya: ibu kota Jawa Timur, serta kota pelabuhan kedua terbesar
Bandung: ibu kota Jawa Barat, serta pusat pendidikan teknologi Indonesia
Medan: ibu kota Sumatera Utara, serta pusat perdagangan di Sumatera
Yogyakarta: ibu kota Daerah Istimewa Yogyakarta, serta pusat kebudayaan Indonesia
Semarang: ibu kota Jawa Tengah
Makassar (dahulu Ujung Pandang): ibu kota Sulawesi Selatan, serta kota terbesar di Pulau Sulawesi
Palembang: ibu kota Sumatera Selatan yang merupakan pusat pemerinyahan kerajaan Srivijaya pada satu ketika dahulu
Banjarmasin: ibu kota Kalimantan Selatan
Denpasar: ibu kota Bali, serta destinasi pelancongan tempat peranginan pantai di Indonesia.

Demografi Indonesia

Pembahagian penduduk Indonesia ada dalam dua kelompok. Belahan barat Indonesia sebahagian besar beretnik Melayu dan bahagian timur Indonesia beretnik Papua. Selain itu ada juga penduduk pendatang yang jumlahnya kecil iaitu etnik Cina, India, dan Arab.

Sebahagian besar penduduk Indonesia menganut agama Islam (85.2%) dan sisanya penganut agama Kristian, Hindu, Buddha, dan sebagainya.

Taburan penduduk Indonesia tidak serata. Pulau Jawa yang merupakan pusat pemerintahan ialah pulau yang terpadat, dengan setengah daripada jumlah penduduknya. Kenaikan kadar pertumbuhan penduduk Indonesia cukup tinggi.

Penduduk Indonesia yang mendiami pulau-pulau di sebelah utara sangat sedikit, berbanding dengan negara-negara berjiran yang besar seperti Jepun, China dan India. Dengan demikian, daerah-daerah Indonesia yang agak kosong beserta kekayaan alamnya berpotensi menjadi sasaran untuk dasar-dasar Lebensraum (dasar peluasan kuasa) oleh kuasa-kuasa di sebelah utara tersebut.
Politik

Politik Indonesia

Garuda Pancasila adalah falsafah dasar negara Indonesia yang berasal daripada dua kata Sanskrit, “panca” yang bererti ‘lima’, dan “sila” yang bererti ‘dasar’. Pancasila terdiri atas kelima-lima dasar yang amat berkait dan yang tidak dapat dipisahkan:

Kepercayaan kepada Tuhan
Kemanusiaan yang adil dan beradab
Perpaduan Indonesia
Demokrasi yang dibimbing oleh kebijaksanaan yang berasal daripada pertimbangan perwakilan
Keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia

Indonesia mengamalkan sistem demokrasi yang diketuai oleh seorang presiden, dan Pancasila ini merupakan jiwa demokrasi. Demokrasi yang didasarkan atas lima dasar tersebut dinamakan Demokrasi Pancasila.

Ekonomi Indonesia

Industri Pertamina

Ekonomi Indonesia mengalami kemerosotan pada akhir dekad 1990-an, akibat Krisis Kewangan Asia yang melanda sebahagian besar Asia pada saat itu. Ekonominya kini telah pulih.

Indonesia mempunyai sumber semula jadi yang besar di luar Jawa, termasuk minyak mentah, gas asli, timah, tembaga, dan emas. Negara ini ialah pengeksport gas asli yang kedua terbesar di dunia tetapi akhir-akhir ini, Indonesia telah bermula menjadi pengimport bersih minyak mentah. Hasil pertanian yang utama termasuk beras, teh, kopi, rempah, dan lobak.

Rakan-rakan perdagangan Indonesia yang terbesar ialah Jepun, dan Amerika Syarikat, serta negara-negara berjiran, iaitu Malaysia, Singapura, dan Australia.

Meskipun kaya dengan sumber asli dan manusia, Indonesia masih menghadapi masalah kemiskinan yang sebahagian besar disebabkan rasuah yang menular dalam kerajaannya.

Bank pusat Indonesia ialah Bank Indonesia.
Sumber alam

Pokok kelapa sawit

Pokok kelapa sawit

Getah yang pernah dikenali sebagai “enam hitam” di Indonesia merupakan hasil utama pertukaran asing pada masa dahulu, dan kini merupakan pengeluar kedua terbesar selepas Malaysia.

Kelapa sawit: Kawasan perladangan kelapa sawit di Indonesia telah diperluas dengan pesat. Produk utama yang dieksport ialah minyak serta isirong sawit.

Tembakau: Kawasan perkebunan tembakau seluas 198,000 hektar pada tahun 1979, dengan 92% daripadanya ditanam oleh pekebun kecil ketika itu.

Logam: Emas dan perak dihasilkan oleh PT Aneka Tambang di daerah Banten Selatan, dan tembaga di Papua.

Asfalt: Perlombongan asfalt dilaksanakan di Sulawesi Tenggara. Terdapat 19 buah lombong, termasuk besar dan kecil, yang ditaksirkan berjumlah 28.5 juta tan.

Budaya di Indonesia

Indonesia terdiri daripada beratus-ratus suku kaum, dengan agama dan kepercayaan yang berbeza. Antara suku kaumnya termasuk Batak, Karo, Minangkabau dan Melayu. Islam merupakan agama rasmi dan utama di Indonesia. Agama-agama yang lain termasuk Kristian, Hindu dan Buddha juga diakui.

Candi Borobudur di Magelang, Jawa Tengah

Candi Borobudur di Magelang, Jawa Tengah

Para pemain muzik Melayu di Indonesia

Para pemain muzik Melayu di Indonesia

Dari segi pakaian, warisan budaya yang paling terkenal di seluruh dunia ialah batik. Daerah-daerah yang terkenal untuk industri batik termasuk Yogyakarta, Solo, dan Pekalongan. Pakaian-pakaian asli Indonesia dapat dikenali daripada ciri-cirinya yang berbeza-beza:

baju kurung dengan songketnya dari Sumatra Barat (Minangkabau)
kebaya
kain batik dari Jawa
kain ulos dari Sumatra Utara (Batak)
pakaian khas Dayak di Kalimantan
baju bodo dari Sulawesi Selatan
pakaian berkoteka dari Papua, dan sebagainya.

Seni pantun, gurindam, dan sebagainya kerap kali dipersembahkan dalam acara-acara seperti majlis kenduri perkahwinan, dan panggung seni. Silat adalah seni bela diri yang kekadang ditampilkan dalam acara-acara pertunjukkan dan biasanya diiringi oleh muzik tradisional gamelan dan lain-lain, sesuai dengan daerah asalnya.

Kesenian Indonesia banyak dipengaruhi oleh beberapa budaya. Terdapat sebuah candi Hindu dari abad ke-10 di Jawa. Tarian Jawa dan Bali yang terkenal, misalnya, mengandungi aspek-aspek kebudayaan dan mitos Hindu. Banyak juga seni tarian yang mengandungi nilai-nilai Islam, antaranya Tarian Saman Meusukat di daerah Sumatera dan Tarian Seudati di Nanggroe Aceh Darussalam. Selain itu, yang paling terkenal di dunia ialah wayang kulit yang menampilkan kisah-kisah mitologi.

Terdapat banyak jenis muzik Indonesia, baik tradisional mahupun moden. Muzik tradisional Indonesia termasuklah keroncong Jawa dikenal oleh semua rakyat Indonesia dan sampai ke luar negara. Ada juga musik yang merakyat di Indonesia yang dikenal dengan nama dangdut.

Dangdut merupakan gabungan muzik Melayu, India, dan muzik tradisional lain Indonesia. Muzik ini dipanggil “dangdut” kerana muziknya bergema dengan bunyi ‘dang’ dan ‘dut’ serta kerana muzik dangdut lebih dikuasai oleh bunyi gendang dan seruling. Lagu-lagu dangdut biasanya didendangkan oleh pedangdut dengan goyangannya yang seronok dan lemah gemalai sesuai dengan kecepatan lagu. Ada pelbagai macam corak muzik dangdut, antaranya:

Dangdut Melayu
Dangdut Moden (dangdut masa kini yang alat muzik telah ditambah dengan alat musik modern)
Dangdut Pesisir (lagu dangdut tradisional Jawa, Sunda, dll).

Artikel yang Berhubungan



Dikutip dari: http://ade-tea.blogspot.com/2011/02/cara-membuat-widget-artikel-yang.html#ixzz1JSIiysNe

Artikel yang Berhubungan



Dikutip dari: http://ade-tea.blogspot.com/2011/02/cara-membuat-widget-artikel-yang.html#ixzz1JNBpubYr

0 komentar:

Bookmark and Share